
PENGUMUMAN KEPADA PENGUNJUNG MUSLIMAT
Mulai sekarang Ustazah Wahibah bt Tahir @ Twahir menjadi penasihat dalam slot Anjung Muslimah. Jesteru, segala pertanyaan dan kemusykilan atau apa-apa jua perbincangan akan di jawab oleh Ustazah Wahibah. Semoga para muslimat tidak mensia-siakan peluang yang ada ini.
" SELAMAT BERINTRAKSI DAN BERHIBUR "
| Date | 2009-10-25 |
| By | khalifah allah |
| Subject | pendapat |
assalamualaikum wbt....ustazah yang dikasihi.
ana ingin bertanya kepada ustazah, jika seseorang itu mempunyai fikrah tetapi tidak dihayati segala fikrah yang ada dalam kehidupan seharian. tidakkah sia-sia ilmu yang ada? pandangan ustazah bagaimana?
—————
| Date | 2009-07-24 |
| By | hidayatul munauwirah |
| Subject | syukran ya ummi |
jawapan yang ringkas dan padat bagi ana, syukran ya ummi
—————
| Date | 2009-04-22 |
| By | hidayatul munawwarah |
| Subject | batalkah solat kita kalau.... |
Assalamualaikum wrth. brt.
Soalan seterusnya dari anakanda adalah, anakanda terdengar ketika solat ada diantara muslimat yang menyedut kembali hingusan yang keluar dari hidung. adakah perkara ini membatalkan solatnya. seingat ana, sewaktu ana ditingkatan 2 dulu, ana pernah berbuat sedemikian ketika solat diimami ustazah, sesudah solat, ustazah ana minta ana solat semua secara bersendirian dan ketika itu tidak langsung terdetik dihati ana untuk bertanya, walau bagaimana pun ana rasa itulah kesilapan ana kerna menyedut hingusan yang keluar itu. ana juga pernah belajar bahawa hingusan adalah suci dan bukanlah satu yang najis, maka jika dibiarkan keluar tanpa menyedutnya kembali tidak mengapa ketika solat.
jadi bagaimana sebenarnya situasi ini, adalah terbatal solat atau sebaliknya?
wallahualam, Syukran jazilan
wasalam
—————
| Date | 2009-04-29 |
| By | ummi |
| Subject | Re: batalkah solat kita kalau.... |
Wa lalaikumussalam...
Formula kepada persoalan ananaknda ialah kembali meneliti perkara-perkara yang boleh membatalkan solat. Satu daripadanya ialah makan dan minum ketika solat. Oleh itu, sekiranya menyedut hingus itu dikategorikan sebagai minum atau makan hingusan itu sehingga masuk ke mulut dan ke tekak, sudah tentu batal. Sekiranya sedutan itu tidak sampai masuk ke rongga mulut maka tidak membatalkan solat.
Manakala status hingus pula tidak termasuk dalam kategori najis.Hanya digalakkan agar ia dibersihkan.
Wallahu a'lam.
—————
| Date | 2009-04-18 |
| By | hidayatul munawwarah |
| Subject | ketua pemimpin seorang wanita? |
Assalamualaikum wrth. brt.
Kepada ummi, anakanda ingin bertanyakan satu persoalan yang kerap juga dibangkitkan dalam dunia hari ini. Jika dilihat dunia hari ini kebanyakkan bidang dimonopoli oleh wanita sehinggakan di universiti sendiri majoritinya adalah wanita. Hal ini kerana Rasulullah sendiri juga pernah berkata antara tanda tanda kiamat adalah banyak perempuan dari lelaki dan perempuan berlumba-lumba untuk setanding dengan lelaki.
Seperti yang diketahui, pemimpin dikalangan wanita adalah tidak akan berjaya kerna Rasulullah sendiri yang berkata sedemikian dalam satu hadist yang diriwayatkan oleh abi bakrah.
Persoalan anakanda disini adalah dalam sesuatu organisasi itu ketua pemimpin adalah wanita yang memang sudah diperakui kekredibilitiannya. Dia dipilih adalah kerana kelayakannya berbanding kelayakan lelaki yang ada. Jadi dalam situasi wanita ini bagaimana tindakannya? adakah dia perlu menarik dirinya atau bagaimana ya ummi? Bagaimana untuk membetulkan sesuatu yang tidak boleh dinafikan kesalahannya lagi? Anakanda mohon jawapan dari ummi.
syukran jazilan ummi.
wslm
dari hidayatul munawwarah
—————
| Date | 2009-03-01 |
| By | hamba Allah |
| Subject | persoalan |
ASSALAMUALAIKUM W.R.T....ustazah, zaman remaja adalah zaman yg sangat mencabar dlm hidup seseorang, samada yg belajar agama ataupn tidak, sy rs org yg belajar agama lebih kuat cabarnnya dari beberapa aspek. Ustazah macam mane care pergaulan kite dengan lelaki? adakah tdk boleh berkawan terus tanpa ade ape2 ikatan..atau kite berkawan dgn menjaga adb2 yg telah d agriskan dlm Islam. sy rasa sekarang ni ramai yg tertanye2 ttntg persoalan ini, bagi yg menjaga adab pergaulan antara lelaki dgn prm,tetapi tetap mahu berkawan dgn lelaki. memang isu byk dibincangkn dalam kalangan ustaz2 sendiri,tp ia ttp menjadi persoalan, wallahua'lam...
—————
| Date | 2009-03-18 |
| By | Ummi |
| Subject | Re: persoalan |
Wa alaikumussalam...
Berbanyak kemaafan kerana lambat memberi maklumbalas kepada persoalan ananknada...almaklum sahajalah banyak tanggungjawab yg perlu dilaksanakan sebagai seorg ibu yang bekerjaya dan memikul amanah ilmu dan dakwah ini.
Sebelum ummi menjawab kemusykilan anakanda itu izinkan ummi memberikan jawapan dalam bentuk kerangka yang lebih luas terlebih dahulu yang boleh dijadikan ’big picture’ dalam melihat sesuatu persoalan. Ummi ingin menjelaskan dahulu tentang Islam yang menjadi panduan muslimah dalam menjalani kehidupan ini.
Islam adalah panduan dan cara hidup.(Q: al-Maidah:3) Semua peraturan datang daripada Allah swt Tuhan Yang Mencipta kehidupan dan seluruh alam ini termasuklah manusia. Al-Qur’an dan Hadith merupakan sumber rujukan asas dan utama untuk mengenalpasti setiap peraturan itu. Allah swt Tuhan Yang Maha Sempurna penciptaan-Nya dan peraturan-Nya(Q:al-Sajdah: 4-7) agar kehidupan ini berlangsung penuh pengabdian kepada-Nya. Itulah matlamat segalanya iaitu agar semua beriman kepada-Nya, tunduk dan patuh di atas ketentuan-Nya.(Q:al-Tzariyat: 51) Agar manusia dapat merasakan sifat al-Rahman dan al-Rahim-Nya di sebalik setiap kejadian dan urusan kehidupan ini.
Islam agama yang sempurna. Ia mengandungi panduan dan peraturan kepada manusia untuk meneruskan kehidupan tanpa pengasingan antara kehidupan dunia dan akhirat, tanpa pengasingan antara agama dan ilmu, dan tidak membezakan status manusia termasuklah status jantita. Ya..tidak ada diskriminasi gender dalam peraturan-Nya.(Q:al-Nisa’:1)
Semua urusan hidup terdapat panduannya di dalam Islam. Daripada perkara yang sekecil-kecilnya bermula daripada bangun tidur, masuk tandas dan bersuci sehingga hendaklah tidur kembali. Peraturan dalam Islam merangkumi urusan peribadi, urusan berkeluarga, urusan bermasyarakat dan bernegara. Semuanya tersedia sesuai dengan keperluan sepanjang masa dan tempat. Semua tersedia agar manusia dapat merasakan Islam sebagai rahmat kepada sekelian alam.(Q:al-Anbia’:107)
Ini adalah kerana Islam juga agama fitrah. Berpandukan ajaran Islam, manusia dapat menjalankan kehidupan selaras dengan fitrahnya. Fitrah beragama, fitrah berkeluarga, fitrah berharta, fitrah bersosial dan fitrah berpolitik. Begitu juga fitrah kelelakian dan kewanitaan.
Islam bukan agama seperti agama yang lain.(Q:al-Kafirun:6) Islam tidak menghalang dan mengasingkan umatnya yang ingin perpegang teguh kepada ajaranya daripada kehidupan semasa, kehidupan berkeluarga, bersosial, berekonomi dan berpolitik. Malah Islam menolakkan fahaman kependitaan, kebiaraan, pertapaan, dan keakhiratan semata-mata. Islam adalah agama yang menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, material, emosional dan spritual. Umatnya akan menemui kepincangan dan kegagalam sekiranya ia diambil tanpa keseimbangan. (Q:al-Baqarah:208)
Justru, manusia tidak sepatutnya merasa terhalang melakukan setiap urusan kehidupan apabila mempunyai kesedaran untuk menghayati Islam. Malah, dengan panduan yang dibentang oleh Islam, manusia akan lebih terarah dan jelas dalam setiap niat dan langkahnya.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, seorang wanita muslimah mestilah meyakini bahawa Islam sahajalah satu-satunya agama yang menyediakan panduan yang jelas kepada kaum wanita untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.(Q:al-Baqarah: 30)
Apabila diteliti satu persatu panduan dan hukum hakam yang berkaitan wanita, Islam benar-benar mengangkat martabat kemanusiaan seorang wanita. Bermula dengan perintah mentaati Allah dan Nabi-Nya sehinggalah perintah mentaati ibubapa, suami dan pemimpin, wanita diberikan kewajipan sama dengan kaum lelaki iaitu wajib menuntut ilmu (Q: al-’Alaq:1) Oleh itu, Islam memberikan hak seluar-luasnya untuk menuntut ilmu setinggi yang mungkin sebagaimana kaum lelaki. Matlamat penciptaan manusia di bumi ini untuk mengabdikan diri kepada Allah turut dipikul oleh kaum wanita. Dalam rangka menjadi hamba yang taat kepada Allah dan rasul-Nya serta walinya, kaum wanita tidak dihalang sama sekali melakukan apa sahaja aktiviti hariannya dalam konteks kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Justru, panduan agama yang berhubungkait dengan wanita dalam urusan aqidah, ibadat, syariat dan akhlaknya disediakan agar wanita dapat melaksanakan urusan harian sebagaimana kaum lelaki tanpa sebarang kebimbangan. Malah dengan ketetapan prinsip-prinsip aqidah dan panduan syariat yang jelas di dalam al-Qur’an dan Sunnah, wanita mampu beramal dan meningkatkan darjatnya di sisi Allah melebihi kaum lelaki.(Q: Ali Imran:195)
Di antara ketentuan Islam yang diberikan secara khusus kepada kaum wanita sebagai seorang individu muslimah, sebagai anak perempuan, sebagai isteri, dan sebagai ibu adalah gambaran Islam sebagai agama fitrah. Begitu juga batasan-batasan yang perlu dipegang oleh wanita muslimah dalam pergaulan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan seperti batas-batas aurat dan pergaulan, supaya menutup aurat dengan sempurna, tidak ber ’tabarruj’, menjaga pandangan dan pergaulan, tidak melunakkan suara, keluar daripada rumah dengan keperluan semuanya bukan untuk menghalang wanita daripada melakukan aktiviti sosial di luar. Kalau tidak apalah gunanya panduan dan batasan tersebut. Malah batasan-batasan yang ada sekiranya benar-benar dihayati akan menyuburkan fitrah kewanitaannya dan keibuannya. Seterusnya memberikan impak yang sangat besar kepada muslimah untuk memainkan peranannya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini. Lantas, akan memberikan lonjakan terhadap sebuah perubahan di kalangan kaum wanita itu sendiri secara kolektif sebagai ibu yang menjadi pendidik dan pendamping pertama lelaki dan sebagai anggota masyarakat dalam pelbagai posisinya....percaya dan yakinilah..
Bagi ummi, dalam konteks kehidupan yang semakin mencabar ini, wanita muslimah tidak seharusnya menjadikan peraturan dalam Islam itu sebagai satu halangan atau escapism baginya untuk mencapai keredhaan Allah swt. Malah wanita muslimah lebih jelas hala tuju hidupnya dan meyakini bahawa Islam benar-benar memberikan kesejahteraan kepada kaum wanita.
Ini adalah disebabkan peranan yang sangat penting pada kaum wanita Muslimat itu sendiri sama ada dalam konteks keluarga mahu pun dalam konteks masyarakat. Keluarga dan masyarakat tidak akan menjadi baik dan berjaya sekiranya wanita itu rosak peribadinya, rendah ilmu dan akhlaknya, bersifat persimis, pasif dan reactionis terhadap perkembangan yang berlaku di sekelilingnya.
Ringkasnya, anaknda teruskanlah kehidupan ini sebagaimana manusia biasa yang memiliki fitrahnya sebagai wanita dengan penuh pengabdian kepada Allah swt. Berpeganglah kepada panduan wahyu dalam setiap langkah. Jadikan Islam penyuluh yang terang dalam setiap urusan kehidupan. Engkau akan dapat rasakan indahnya Islam apabila dihayati dalam kehidupan yang serba mencabar ini, di kala manusia sudah semakin jauh daripada nilai fitrahnya sebagai seorang manusia yang dicipta Allah dengan penuh kehebatan dan keunikan.
Insya Allah...panduan yang lebih terperinci akan menyusul. Jumpa lagi, wassalam
BEBERAPA PRINSIP PENDIDIKAN BAGI KAUM WANITA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: SATU PENELITIAN SEMULA
Oleh : Wahibah bt Twahir@H. Tahir
Kertas kerja ini dimulakan dengan perbincangan sepintas lalu mengenai kedudukan wanita di zaman RasululLah (s.a.w.) dan Khulafa al-Rasyidin dalam bidang keilmuan dan pendidikan. Kemudiannya menyatakan pernyataan masalah wanita Islam kini yang berdepan dengan dua pandangan yang saling bertentangan. Pandangan pertama menyempitkan mereka untuk memainkan peranan yang seimbang antara peranan di dalam dan di luar rumah yang disandarkan dengan hujjah syara’ yang mengelirukan serta bercampur baur dengan tradisi sesuatu masyarakat dan pengaruh pemikiran dari budaya luar. Manakala pandangan kedua terlalu terbuka dan terlepas bebas dari batasan syar’i yang berdasarkan pemikiran barat. Permasalahan yang timbul ini adalah hasil perkembangan tamadun Islam yang melalui zaman-zaman yang panjang. Bermula dengan kemerosotan tamadun Islam lantaran kebekuan ilmu, kejumudan pemikiran dan keruntuhan akhlak ummah di semua peringkat dan seterusnya diparahkan lagi dengan serangan penjajahan terhadap negara umat Islam. Penulis menggariskan beberapa prinsip asas berkaitan pendidikan bagi kaum wanita Islam sebagai satu titik tolak untuk meletakkan posisi mereka antara dua pandangan ini. Perbincangan mengenai beberapa prinsip asas yang digariskan oleh Islam dalam memberikan hak pendidikan kepada kaum wanita selaras dengan peranan dan kewajipan yang dipikul oleh mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat (المرأة نصف المجتمع) dan dianggap sebagai sekolah pertama kepada umat (الأم مدرسة).
PENDIDIKAN WANITA ISLAM : SEMALAM DAN HARI INI
Islam, pada masa dunia kemanusiaan berada dalam kegelapan tanpa cahaya keimanan kepada Allah dan kejahilan ilmu pengetahuan, telah membuktikan penghargaannya terhadap rukun-rukun kewujudan manusian dengan meletakkan ilmu dan pendidikan satu keperluan setiap individu tanpa mengira perbezaan jantina, darjat dan peringkat umur. Dengan prinsip ini terserlah satu sifat khusus yang ada pada Islam sebagai sebuah tamadun unggul iaitu penekanan yang serius terhadap pencapaian ilmu dalam pelbagai bidang. (Wan Mohammad Nor Wan Daud: 112)
Dengan ciri yang khusus dan istimewa ini, dunia menyaksikan Islam sebagai sebuah agama dan cara hidup yang pertama mengiktiraf kebebasan wanita menuntut ilmu dan memperjuangkan keberadaannya sebagai rakan kongsi kaum lelaki di dalam kehidupan yang menyeluruh. Tanpa memiliki ilmu pengetahuan, wanita tidak dapat mencapai kesempurnaan fitrahnya dan mengembangkan kebolehan mental mereka. Tanpa ilmu juga wanita tidak mampu menggunakan keupayaan fizikal mereka dengan baik dan seterusnya meninggikan tahap pencapaian spiritual mereka sebagaimana kaum lelaki.
Firman Allah SWT. dalam surah at Taubah:71 bermaksud:
Yang bermaksud:
Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka ini akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Zaman RasululLah (s.a.w.) adalah zaman ikutan dan zaman teladan. Pada zaman ini Islam dilihat dalam bentuk yang praktikal dan realiti di mana seluruh kegiatan umat Islam dikawal oleh kaedah-kaedah syara’ sepenuhnya. Oleh itu sistem kemasyarakatan di mana terserlahnya peranan yang dimainkan oleh wanita muslimah hanya dapat difahami melalui petunjuk nubuwwah dan sirah RasululLah (s.a.w.). Melalui kedua-dua petunjuk ini, gambaran yang jelas tentang kegiatan sosial wanita muslimah dalam pembudayaan ilmu dan khidmat sosial mereka di kala suka atau duka, ketika sempit atau lapang dan ketika aman atau perang. (Jasim:18-19). Keperibadian unggul para wanita muslimah zaman Rasulullah (s.a.w.). dan khulafa al-Rasyidin dalam menghayati ajaran Islam dan dalam masa yang sama mereka turut serta secara aktif dan berkesan dalam pembinaan tamadun begitu terserlah. Keseimbangan dalam melaksanakan peranan kekeluargaan dan kemasyarakatan yang dihayati ini menandakan terdapatnya satu sistem pendidikan bagi wanita di zaman tersebut yang berpegang kepada prinsip-prinsip pendidikan yang menyeluruh. (Hafsah Ahmad:12)
Fenomena penglibatan yang seimbang antara tanggungjawab keluarga dan masyarakat tidak sahaja tertumpu di kalangan para isteri Nabi dan sahabat yang terdekat, tetapi menyeluruh di kalangan wanita sepanjang zaman RasululLah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin. Justru itu, sering ditemui di dalam sejarah awal bagaimana wanita Islam terlibat dengan peperangan dan perniagaan di samping melaksanakan tugasnya sebagai isteri dan ibu. Kepakaran mereka dalam berbagai bidang menggambarkan penghayatan mereka terhadap kewajipan menuntut ilmu yang ditekankan oleh Islam.[i]
Pada hari ini, wanita muslimah berhadapan dengan dua pandangan yang meletakkan mereka berada di persimpangan. Pandangan pertama ialah pandangan yang terlalu sempit dan dangkal sehingga tidak memberi hak yang sebenar kepada wanita. Wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah walaupun untuk mendapat hak dalam pendidikan. Pandangan ini meletakkan peranan wanita hanya berpusat dalam lingkungan individu dan kekeluargaan semata-mata dan meminggirkan peranan wanita daripada masyarakat. (Ghadban: 3, Su’ad Salih: 2) Pandangan ini telah muncul sejak setelah berlalunya zaman kegemilangan Islam dan jauhnya petunjuk kenabian. (Al-Qabisi : 289) dan (al-Ahwani : 181) membahaskan ruang pendidikan bagi kaum wanita hanya menerusi proses kemahiran membaca sahaja kerana menjadikan kemahiran menulis sebagai faktor yang boleh merosakkan wanita. Bidang pendidikan wanita Islam tidak lebih daripada mempelajari al Quran menerusi kemahiran membaca sahaja dan sedikit ilmu asas agama. Ia menjadi gambaran terhadap lahirnya pandangan sempit, jumud (kebekuan pemikiran) dan taqlid buta atas nama agama (mengikut amalan orang lain tanpa merujuk kesahihannya kepada sumber aslinya iaitu al Qur’an dan Sunnah RasululLah (s.a.w.). Di samping bercampur dengan adat tradisi sesuatu masyarakat dan fahaman sempit sesuatu kepercayaan agama selain Islam kesan daripada penyebaran Islam ke pelbagai budaya bangsa dan negara. (Habsah :295)
Manakala pandangan kedua pula ialah pandangan yang terlepas bebas daripada sebarang petunjuk agama dan terpengaruh dengan pemikiran Barat yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Pandangan ini meletakkan lelaki dan wanita berdasarkan prinsip persamaan mutlak sehingga berlaku krisis peranan antara gender.(Ghadban: 4) Di atas nama pemodenan pendidikan dan emansipasi wanita, sekali lagi kaum wanita Islam ditimpa bencana. Pandangan ini melanda masyarakat Islam menerusi penjajahan Barat dari kurun ke lapan belas dan sembilan belas. Sistem Pendidikan menjadi sasaran awal pihak Barat untuk menguatkan cengkamannya terhadap umat Islam. (Anwar al-Jundi :245) Peluang-peluang pendidikan dibuka seluas-luasnya kepada kaum wanita Islam yang telah berabad lamanya terikat dengan adat tradisi masyarakat yang tidak berdasarkan hujah syarak. Namun pendidikan yang diperkenalkan oleh Barat tidak menawarkan sesuatu konsep yang jelas untuk dipegang oleh kaum wanita Islam ketika itu. Para pelupor modernis dari kalangan umat Islam telah terpengaruh dengan pendekatan Barat sedangkan antara masyarakat Barat dan mayarakat Islam terdapat garis pemisah dari sudut asasnya, perkembangan dan nilai-nilainya.( Muhammad Qutub:b : 177)
Falsafah pendidikan Barat yang berakar umbi daripada meletusnya revolusi perindustrian pada awal abad ke tujuh belas terbina di atas prinsip materialism memberi impak yang mendalam kepada wanita dengan meletakkan wanita pada posisi tidak sebagai manusia. Wanita Islam dibawa keluar dari kongkongan adat tradisi sempit, keluar ke tengah-tengah masyarakat meninggalkan peranan utama mereka dalam institusi kekeluargaan, menikmati pendidikan formal yang berteraskan kepada falsafah pendidikan Barat membawa wanita Islam lebih jauh daripada petunjuk Islam. Barat menjadikan kaum wanita sebagai alat untuk memusnahkan Negara Islam yang dijajah. (Habsah Ahmad Hassan:15) Sekolah–sekolah perempuan yang dikendalikan oleh golongan missionary Kristian menjadi tapak permulaan untuk pelajar menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah menengah Inggeris atau Perancis.
Dua zaman gelap yang menyelubungi sistem pendidikan wanita Islam ini adalah pancaran ketiadaan prinsip yang asli dan keterbatasan dasar pendidikan hanya untuk menyediakan wanita bekerjaya dan mengabaikan tugas kemanusiaannya sebagai seorang wanita yang sebenar menurut acuan Islam. Islam telah menggariskan prinsip yang jelas dalam pendidikan agar wanita Islam mempunyai peranan yang seimbang antara peranan dirinya, keluarga dan masyarakatnya. Prinsip ini menentukan kedudukan dan tugas asasi wanita Islam dalam keluarganya dan dalam kehidupannya yang umum, tidak hanya menentukan kerjayanya selepas melalui peringkat-peringkat pendidikan.
1. PRINSIP PERSAMAAN
Islam sebagai al-Din berpegang kepada prinsip persamaan dan keadilan sebagai dasar ajaran sejak awal diturunkan. Islam memberikan hak kebebasan kepada semua manusia dan warganegara dalam negara Islam samada hak kebebasan itu merangkumi hak individu ataupun masyarakat. (Al-Khayyat: 43) Prinsip persamaan bermaksud individu-individu yang terdapat dalam sesuatu masyarakat adalah sama dari segi hak, kebebasan tanggungjawab dan tugas-tugas awam yang akan dinikmati oleh semua orang tanpa diskriminasi terhadap bangsa, asal, bahasa atau kepercayaan. (Al-Azhar, Zul Hijjah 1416H.;1930-1931) Persamaan yang dimaksudkan ialah wanita tidak sahaja diberi hak yang sama rata dengan kaum lelaki untuk mencari ilmu malah meletakkan usaha menuntut ilmu sebagai satu kefardhuan dan rukun yang berkait rapat dengan keimanan kepada Allah.(Muhammad Qutub: 152) Apabila Allah SWT menurunkan ayat yang mengandungi arahan menuntut ilmu sebagaimana dalam surah al Alaq:1-5, surah al Taubah: 122 , surah al Tahrim: 6 dan seumpamanya, majoriti para ulama bersepakat mana-mana ayat yang berbentuk umum ditujukan kepada semua golongan tanpa perbezaan jantina. (Muna Ali:79) Namun prinsip dan manifestasi system Islam adalah berbeza dari sudut pemberiaan hak persamaan tersebut dilihat dari sudut had dan sempadan tertentu.
Begitu juga para ulama bersepakat terhadap dalil wajib menuntut ilmu yang terdapat dengan jelas menerusi hadith nabi((طلب العلم فريضة على كل مسلم)) melibatkan kaum wanita muslimah. Malah terdapat banyak arahan baginda agar memberikan penekanan kepada pendidikan anak-anak perempuan. Antaranya sabda Rasulullah s.a.w:
أيما رجل كانت عنده وليدة فعلمها فأحسن تعليمها وأدبها فأحسن تأديبها ثم أعتقها فزوجها فله أجران
Di samping nas-nas yang menegaskan hak-hak wanita mengenai pendidikan dan pengajaran agar wanita mampu melaksanakan tanggung jawabnya dengan baik, masih ada kaidah ushul fiqih yang mengatakan ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب yang artinya: "Suatu kewajiban yang tidak akan sempurna kecuali dengan sesuatu perkara, maka perkara itu wajib kecuali dengannya, maka perkara tersebut (hukumnya juga) wajib." Dalam hal ini, menuntut ilmu menjadi tanggungjawab yang asasi bagi wanita supaya dapat melaksanakan segala perintah Allah swt. dan mampu menjauhi laranganNya dengan keilmuan yang dimilikinya.
2. PENDIDIKAN BERPUSAT KEPADA AL QUR’AN DAN AL HADITH
Ilmu yang berpusatkan al-Quran dan al-Hadith merupakan salah satu daripada ciri-ciri khusus pembudayaan ilmu dalam kehidupan umat Islam lelaki dan wanita. Firman Allah SWT. Dalam al-Qur’an Surah al-Jumu’ah ayat 2
bermaksud:
Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (al Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Penekanan kepada prinsip ini dalam kehidupan keilmuan dapat juga dilihat menerusi ayat 33 surah al Ahzab. Ayat ini merupakan satu-satunya ayat al-Qur’an yang menyebut secara khusus berkaitan budaya keilmuan untuk kaum wanita iaitu firman Allah SWT. Dlm al-Qur’an surah al-Ahzab ayat 33-34,
yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.
Ayat di atas menekankan agar para isteri Nabi SAW. menghafal dan mengingati ajaran yang diperolehi daripada RasululLah SAW. sama ada ayat-ayat al Qur’an atau hikmah. Imam Syafie dalam kitabnya al Umm menjelaskan yang dimaksudkan dengan hikmah dalam ayat ini ialah al sunnah. (al Syafie: J. VII: 250) Tidak syak lagi mengingati ajaran baginda ialah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain pula. Kedudukan ilmu fardhu ain sebagai ilmu yang awalan perlu dipelajari meletakkan kehidupan ilmuan bagi wanita mempunyai keterikatan yang tidak berceraitanggal daripada al Qur’an dan Hadith. Tambahan pula tanggungjawab asasi wanita ialah menjaga kepentingan rumahtangganya dan memberikan pendidikan kepada anak-anak memerlukan wanita memiliki ilmu yang mendalam terhadap ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadith.
Setelah hampir setengah abad sistem pendidikan barat membelenggu proses pembinaan umat Islam dengan mengasingkan prinsip-prinsip Islam dari falsafah pendidikan, masyarakat hari ini perlu kembali kepada pendidikan yang berteraskan wahyu. Kepentingan ini lebih mendesak dalam pendidikan wanita Islam kerana mereka yang paling hampir dengan anak-anak dan remaja, memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan pembinaan budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia.(Wan Mohd Nor: 80) Mereka merupakan “sekolah” yang mengeluarkan pelajar-pelajar hasil didikannya. Pembinaan satu bangsa yang kuat harus bermula daripada ibu yang berilmu pengetahuan dan yang peka terhadap nilai-nilai penting kemanusiaan serta perkembangan masyarakat setempat. (Wan Mohd Nor: 82)
3. BIDANG KEILMUAN WANITA
Berdasarkan pengklasifikasian ini, para ulama dan pemikir berbeza-beza pandangan tentang klasifikasi ilmu yang difardhukan kepada kaum wanita. Walau bagaimana mereka bersepakat menyatakan menuntut ilmu yang berkaitan urusan agamanya dan ilmu yang mampu meningkatkan keimanannya dan memperelokkan akhlaknya adalah wajib fardhu ain tanpa membezakan antara kaum lelaki mahupun wanita. Justru itu, golongan yang bertanggungjawab ke atas wanita seperti ibubapa, penjaga, suami, para pemimpin masyarakat dan pemerintah wajib memberikan peluang yang seluas-luasnya bagi wanita menuntut ilmu yang berkaitan dengan agama. Mereka dikehendaki menyediakan segala prasarana dan suasana yang kondusif bagi memudahkan kaum wanita mencapai ketinggian ilmu tersebut.(al- Baltaji: 308) Diskriminasi gender tidak seharusnya berlaku agar ruang dan bidang keagamaan itu dikuasai bersama oleh wanita sebagaimana kaum lelaki sehingga sampai satu tahap boleh melakukan ijtihad dan mengeluarkan fatwa.(Zaidan: J. 4: 240) lebih-lebih lagi dalam isu semasa yang berkaitan dengan persoalan gender dan emansipasi wanita masa kini.
Manakala ilmu selain dari ilmu agama yang diklasifikasikan dalam berbagai-bagai jenis dan kategori menurut pandangan yang berbeza-beza, para ulama turut meletakkan kewajipan fardu kifayah bagi wanita sebagaimana kaum lelaki sekiranya ilmu tersebut melibatkan perkara yang berkaitan urusan kehidupan wanita dan berkaitan peranan mereka sebagai anggota masyarakat seperti ilmu perubatan, ilmu pendidikan, ilmu sains dan teknologi, ilmu pentadbiran, ilmu sains rumahtangga, dan seumpamanya.(Zaidan: J. 4: 242, Baltaji:)
4. PENDIDIKAN KEPAKARAN BERDASARKAN GENDER
Keistimewaan Islam sebagai agama yang realistik dan praktis dapat dilihat menerusi prinsip ini. Islam memandang berat kepada perbezaan tabiat kejadian dan kecenderungan semula jadi antara lelaki dan wanita. Sebagaimana terdapat perbincangan khusus bagi kaum wanita dalam soal-soal peribadatan seperti solat, puasa dan hajji, Islam juga turut meletakkan pengkhususan dalam proses pendidikan wanita.(al Baltaji:309) Dengan memahami prinsip ini wanita dalam apa jua posisinya sama ada sebagai seorang anak atau saudara perempuan, malah sesudah berstatus isteri seterusnya sebagai ibu akan menikmati peluang yang seluas-luasnya dalam bidang keilmuan dan mampu pula mencapai tahap kehidupan yang menyaingi kaum lelaki sehingga dapat dinilai di sisi Allah SWT. menerusi firmanNya yang bermaksud: (Surah Ali Imran: 195)
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain;
Kedua-dua golongan ini mempunyai nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang sama. Namun, kedua-dua golongan ini masing-masing memiliki ciri-ciri kemanusiaan yang tersendiri dalam beberapa aspek yang membezakan antara satu sama lain. Seorang lelaki dan seorang wanita mengikut fitrah kejadiannya adalah berbeza kerana mereka berlainan dari segi sifat kejadiannya dan kecenderungan semulajadinya.(Ensiklopedia Sirah: J. V:169) Firman Allah dalam surah Ali Imran: 36 yang bermaksud: Dan lelaki itu tidak seperti perempuan, menegaskan hakikat ini. Sebagai seorang wanita, fitrah kejadiannya melalui tempoh putaran haid yang akan mempengaruhi emosi dan tingkahlakunya seharian. Sebagai seorang isteri, dia bertanggungjawab menjadi penjaga yang terbaik terhadap rumahtangganya dan melaksanakan hak terhadap suaminya seterusnya akan melalui tempoh-tempoh kehamilan dan melahirkan anak. Begitu juga setelah menjadi seorang ibu, dia bertanggungjawab mengamalkan penyusuan, penjagaan dan memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak yang dilahirkan. Begitu juga setelah dia mencapai tempoh menapous, dia akan melalui proses perubahan emosi dan fizikal berbeza dengan seorang lelaki.
Walau pun terdapat segelintir wanita yang tidak mencapai status seorang isteri dan ibu, tetapi sifat-sifat kewanitaannya tetap membezakannya dengan kaum lelaki terutamanya di sudut fisiologi dan psikologinya. Oleh itu Islam meletakkan kaedah umum untuk digunapakai oleh kelompok besar golongan wanita ini di samping menggariskan beberapa pengecualian atau panduan khusus kepada kelompok kecil wanita yang tidak berkahwin dan beranak namun masih terikat dengan fitrah kejadiannya. Kurikulum yang berdasarkan gender perlu ditekankan apabila anak-anak perempuan memasuki alam remaja (al-Akk, Khalid: 245) iaitu dalam ertikata melalui proses pendidikan di peringkat menengah dan pendidikan tinggi. Pendedahan menjurus kepada kepakaran dalam bidang kewanitaan atau yang bersesuaian dengan tabiat semula jadi wanita disediakan dengan meluas di peringkat ini.
Perkembangan ilmu di zaman moden ini semakin meluas. Untuk turut serta dalam usaha-usaha pembinaan tamadun dan mengejar status pekerjaan yang bersifat professional, pelbagai bidang keilmuan yang sesuai dengan sifat kewanitaan mampu didalami oleh wanita. Terdapat ilmu yang begitu rapat dengan ciri-ciri kewanitaan dan dituntut mendalaminya seperti ilmu pendidikan, ilmu perubatan, ilmu kesihatan, ilmu pengurusan, ilmu perniagaan, dan seumpamanya.
Terdapat berbagai-bagai bidang ilmu yang ditawarkan di pelbagai institusi pendidikan yang tidak bersifat mesra wanita, seperti ilmu sains sukan, ilmu kejuruteraan berat, dan ilmu ketenteraan yang bertentangan dengan sifat-sifat semula jadi wanita atau ilmu angkasalepas, ilmu sains samudra, ilmu kajibumi dan seumpamanya yang memerlukan wanita itu berada di luar lingkungan keluarga dalam tempoh yang lama. Kesemua ilmu dan yang seumpamanya menghalang wanita menjaga tuntutan hijab yang digariskan oleh syara’, mendedahkan wanita kepada pencampuran bebas dengan lelaki dan memerlukan wanita terasing dari kehidupan normalnya.(Baltaji: 323) Pembebasan hak mutlak ini akan mendorong kepada berlakunya kezaliman kepada kaum wanita itu sendiri.iaitu keadaan kekacauan identity yang memperlihatkan kedudukan sesuatu bidang ilmu bukan pada tempat yang sewajarnya.(Wan Mohd Nor(b):37)
Namun dalam kes-kes tertentu dan kepada sekumpulan kecil wanita yang mempunyai keupayaan yang tinggi, mereka masih dibolehkan mendalami beberapa ilmu yang tersebut dalam ertikata berdasarkan bilangan yang terkawal dan disediakan segala faktor yang diperlukan sebagai seorang wanita Islam. Penglibatan wanita dalam bidang yang terkawal ini juga hendaklah tidak memberikan persaingan kepada kaum lelaki untuk mendapat pekerjaan yang akhirnya membawa kesan pengangguran di kalangan kaum lelaki yang lebih besar keburukannya kepada masyarakat dan negara.
Pada hari ini, bidang ilmu pengetahuan semakin luas dan rencam. Wanita tidak dihalang sama sekali mencapai tahap profesional tertinggi sebagaimana kaum lelaki. Banyak bidang kepakaran yang berkaitan wanita belum dipenuhi oleh kaum wanita Islam itu sendiri terutamaan dalam ilmu perubatan yang melibatkan biologi wanita, ilmu pendidikan yang melibatkan perkembangan kanak-kanak dan pendidikan persekolahan, ilmu sains rumahtangga dan pengurusan kemanusiaan dan seumpamanya. Bidang-bidang ini, walaupun masih baru tetapi membuka ruang-ruang bagi wanita membuat pilihan yang tepat dalam meletakkan keutamaan dalam memilih sesuatu ilmu.
Masyarakat Islam juga memerlukan wujudnya kelompok wanita yang memiliki kepakaran dalam bidang sains dan teknologi kerana mereka juga berperanan dalam pembinaan tamadun Islam di mana mereka berada. Islam juga tidak menghalang wanita menguasai ilmu-ilmu semasa sekiranya mereka memiliki kepandaian yang luabiasa tetapi tidak mendorong mereka keluar dari lingkungan fitrahnya sebagai wanita dan menyebabkannya mengabaikan tugas utamanya dalam keluarga. Walau bagaimana pun mereka dibimbing agar lebih selektif kepada bidang-bidang yang sesuai dengan sifat fisiologi, biologi dan keperluan serta peranan harian mereka. Al Maududi menegaskan bidang-bidang yang dipilih itu hendaklah tidak membawa wanita itu melanggar batasan yang ditentukan oleh syariat Islam.
4. TIDAK TERPISAH DARI TUNTUTAN HIJAB
Konsep Hijab dalam Islam yang menjadi tuntutan kepada wanita muslimah bukan sahaja persoalan yang berkaitan dengan penutupan aurat. Tetapi lebih jauh dari itu konsep hijab ini diibaratkan sebuah institusi penjaminan kualiti hak, kehormatan dan pemartabatan wanita yang diberikan oleh Islam. Selain daripada berpegang dengan prinsip-prinsip yang telah disebutkan di atas, arahan supaya memakai pakaian menutup aurat,menjaga pandangan, (Al-Qur`an: Surah an Nur: 31) menjaga batas-batas pergaulan, dan larangan daripada berhias secara jahiliyyah,( Al-Qur’an: surah al-Ahzab: 33) melunakkan suara (al-Qur’an: Surah al-Ahzab: 32) dan terlibat dengan percampuran yang tidak syar’i (ikhtilat) dengan kaum lelaki yang bukan mahram, meletakkan wanita itu dalam posisi yang selamat di mana jua dia berada dan berperanan, sama ada di rumah atau pun di tengah masyarakat.
Keseimbangan dan keselarasan antara hak dan kewajipan ini memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada wanita dalam menikmati peluang-peluang keilmuan dan pendidikan, sosial, ekonomi dan politik. Namun hak-hak yang diberikan tidak akan dapat dihayati dengan baik sekiranya kaum wanita muslimah tidak mengiringinya dengan memenuhi kewajipan yang telah ditetapkan oleh Islam.
5. KONSEP SAFAR BAGI WANITA DALAM MENUNTUT ILMU
Safar bererti berjalan jauh sehingga orang yang berjalan itu bergelar musafir dan jauh perjalanannya melayakkan dia mengqasarkan solat. Amalan mengembara dan berjalan jauh demi mencari ilmu telah menjadi budaya para sahabat dan alim ulama silam. Pada dasarnya mengembara bertujuan menuntut ilmu adalah harus. Malah pada satu peringkat, mengembara untuk tujuan ini menjadi sunat dan wajib. Wanita Islam juga diberi peluang menghayati budaya ini walaupun pada dasarnya terdapat ketetapan syara’ yang melarang mereka bepergian jauh tanpa suaminya atau mahramnya.[ii] Pandangan ulama yang berbeza-beza tentang keharusan wanita bermusafir untuk menuntut ilmu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kaum wanita muslimah untuk mendalami ilmu di mana sahaja berdasarkan peluang-peluang yang ada pada hari ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap wanita itu seharusnya menyediakan faktor-faktor yang menggalakkan wanita itu menghayati budaya berjalan jauh demi ilmu dan pengalaman serta meluaskan pandangan. Dengan bimbingan ilahi dan nubuwwah menerusi penghayatan konsep hijab di sepanjang pencarian ilmu, suasana keilmuan yang dilalui oleh wanita sepanjang safarnya adalah terkawal berbekalkan sifat taqwa, keinsafan dan mengharapkan redha Allah SWT sepanjang masa.
Persaingan yang begitu mencabar dari kalangan golongan wanita muslimah yang berlatarbelakangkan pendidikan bukan agama apatah lagi dari golongan wanita yang mendokong gerakan emansipasi wanita ala-barat semakin sengit. Penulis mendapati ulama yang banyak melibatkan diri dalam pergolakan dunia Islam hari ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang melanda krisis identiti ummah seperti al-Sheikh Yusuf al-Qardawi dan Muhammad al-Ghazali. Mereka berdua lebih mempunyai pandangan terbuka terhadap persoalan wanita. Justru, pada hari ini wanita sangat perlu mempunyai pengalaman yang luas menerusi budaya bepergian untuk menuntut ilmu atau terdedah dengan kepelbagaian aktiviti di peringkat national dan international. Pergaulan yang luas serta perjalanan yang jauh akan membuka akal mereka untuk memikirkan pendefinisian semula peranan wanita Islam dalam posisi yang penting dalam masyarakat dengan mengadakan persidangan wanita Islam di peringkat international dan mampu memainkan peranan dalam pembinaan semula peradaban Islam.(Bennabi: 125)
Terdapat segolongan wanita yang tidak memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu atau sudah terlepas dari tanggungjawab tersebut dan mempunyai kemampuan dan peluang yang luas untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang keilmuan yang diceburi. Golongan ini seharusnya memanfaatkan budaya berpergian ini di samping pihak yang bertanggungjawab ke atas mereka menyediakan segala kemudahan yang sewajarnya.
Penekanan yang perlu diambil oleh golongan wanita ialah berpegang teguh dengan sebaik-baik petunjuk iaitu petunjuk kenabian, petunjuk daripada khulafa al-Rasyidin dan para sahabat yang jauh dari sebarang unsur pembaratan yang menghalalkan segalanya dan usnur ketimuran yang sempit. Wanita menerusi petunjuk ini tidak terkurung atau terpenjara dan tidak sekali pula terlepas bebas.(al-Qardawi: 40)
KESIMPULAN
Pada hari ini, kebebasan yang diberikan oleh Islam kepada wanita dalam menuntut ilmu telah bercampur-aduk dengan kefahaman yang tidak berakar umbi dari ajaran Islam. Fahaman feminisme Barat yang memperjuangkan persamaan mutlak dengan kaum lelaki termasuk hak menguasai bidang-bidang pendidikan ilmu tanpa batasan gender telah mempengaruhi pembudayaan ilmu masyarakat Islam hari ini. Kebebasan menuntut ilmu yang diberikan kepada wanita tidak lagi mengikut taraf keutamaan sesuatu ilmu (priority ilmu) yang digariskan oleh Islam dan telah mengabaikan matlamat pendidikan Islam itu sendiri iaitu pembentukan keperibadian Islam. Ini disebabkan pendidikan sekarang ini menjadi alat untuk mencapai kepentingan nilai-nilai ekonomi dan sosial sesebuah negara berbanding menjaga kemaslahatan individu . .(Wan Muhammad Nor Wan Daud(a): 164-166). Sedangkan cita-cita dan matlamat yang terpenting pendidikan dalam Islam ialah kecapaian kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat seterusnya mencapai keridhaan Allah
CADANGAN
Penulis mendapati keperluan yang mendesak kepada usaha-usaha penelitian semula system pendidikan di
BIBLIOGRAFI
Al-Qur`an al-Karim.
Al-Qamus al-Muhit (1987M/1407H), C. 2.
‘Abd al-Qader ‘Audah (1414H/1994M), al-Tashri` al-Jina’i al- Islami. 2 j.
`Abd. Mun`im Ahmad Barakah, (1410H/1990M), al-Islam wa al-Tarikh al-Islami wa fi al-`Asr al-Hadith. Iskandariyyah: Mu`asasah Syabab al-Jami`ah.
A. Rahman I.Doi (1412H/1992M), Orang Bukan Islam Di Bawah Undang-Undang Syariah.
`Abdel Wahab el-Affendi (ed.) (1421H/2001M), Rethinking Islam and Modernity; Essays in Honour of Fathi Osman.
Al-Akk, Khalid Abdul Rahman, (t.t), Tarbiyyatu al-abna’ wa al Banat fi Daui al Qur’an wa al Sunnah,
Abrasyi, Mahmud ‘Itiyyah al- (t.t), Makanah al-Mar’ah Fi al-Islam, Kaherah: Dar al-Sya‘bi.
Abu Syiqqah, ‘Abd al-Halim Muhammad (1990M), Tahrir al-Mar’ah Fi ‘Asr al-Risalah,
Bennabi, Malik, (1994M), Membangun Dunia Baru Islam, Bandung: Penerbit Mizan.
Baltaji, Muhammad (Dr.),(2000M), Makanah al-Mar’ah Fi al-Qur`an al-Karim Wa al-Sunnah al-Sahihah, Kaherah: Dar al-Salam.
Faisal Othman (1989M), “The Freedom of Thought In Islam”, dalam (Regional Confrence On Human Rights In Islam, di Kristal Ballroom Petaling Jaya Hilton Selangor Darul Ehsan, 27-29 July 1989).
Ghadban, Munir Muhammad Najib (1983M), Adwa’ ‘Ala Ta‘lim al-Mar’ah, Min Silsilah al-Buhuth al-Mu’tamar al-‘Alami al-Awwal Li al-Ta‘lim al-Islami Makkah al-Mukarramah.
Ghazzali, Muhammad al- (1990M), Qadaya al-Mar’ah Bayna al-Taqalid al-Rakidah Wa al-Wafidah,
Ghazzali, Abu Hamid al- (t.t), Ihya’ ‘Ulum al-Din, Kaherah: Dar al-Sya’b.
Faisal Othman (1989M), “The Freedom of Thought In Islam”, dalam (Regional Confrence On Human Rights In Islam, di Kristal Ballroom Petaling Jaya Hilton Selangor Darul Ehsan, 27-29 July 1989).
Hasan, Hafsah Ahmad (2001M), Usul Tarbiyah al-Mar’ah al-Muslimah al-Mu‘asarah,
Persatuan Pendidikan Islam UPSI
Persatuan Pendidikan Islam,

As-Syahied Syeikh Ahmad Yassin
Bapa Intifadhah Palestin

"Jangan kamu turuti jejak Syaitan"
( Al-Quran Al-Kareem )
How to make a free website :: Webnode